Isu Melayu Pulau Pinang Dipinggirkan telah dicetuskan UMNO. Isu ini menyebabkan GERAKAN diserang dari pelbagai sudut dan lain-lain parti komponen bukan Melayu dalam BN hanya mengambil masa tunggu dan lihat. Pelbagai cadangan telah dikemukakan untuk menyelesaikan isu ini dan yang paling keras sekali ialah jawatan Ketua Menteri disandang oleh bangsa Melayu.
GERAKAN adalah parti yang paling susah hati kerana Timbalan Presiden GERAKAN akan mengambil-alih jawatan Presiden dan secara tradisinya, terpaksa berpindah ke pusat menyandang jawatan Menteri Kabinet. Dalam konteks ini, GERAKAN akan memastikan agar UMNO atau MCA tidak merebut kesempatan ini.
Maka, tidak hairanlah sejak akhir-akhir ini GERAKAN seringkali membangkitkan isu agihan ekuiti bumiputera dan bukan bumiputera. Semuanya dilakukan demi untuk memastikan masyarakat Cina di Pulau Pinang tetap memilih GERAKAN sebagai penyandang jawatan Ketua Menteri. Namun kita percaya, Kerajaan akan terus memastikan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang terus disandang GERAKAN.
Mr. Kiasu Lee berkongsi kebimbangan yang sama. Namun, beliau lebih tertumpu kepada usaha untuk melindungi kepentingan strategik Singapore Business Community yang banyak melabur dalam pasaran hartanah dan industri perkilangan di Pulau Pinang. Mr. Kiasu Lee berharap dengan isu yang beliau bangkit ini, maka akan tercetus ketegangan politik antara UMNO dan parti-parti kaum cina. Sekaligus memaksa suatu bentuk kompromi yang sedikit-sebanyak dapat melewatkan agenda UMNO memperkasakan semula orang Melayu Pulau Pinang.
Dalam perang saraf ini, beliau bijak mengambil kesempatan untuk melontarkan isu berkenaan di celah-celah kehangatan polemik Melayu-Cina terhadap isu Melayu Pulau Pinang Dipinggirkan dan isu Baikpulih SJK Cina Di Johor. Di pihak UMNO pula, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Kerajaan secara senyap-senyap sedang menyusun semula kesemua jentera strategiknya, agar kembali kepada fungsi, matlamat dan fokus sepertimana yang ditetapkan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diilhamkan Tun Abdul Razak. Dan pemerkasaan Melayu Pulau Pinang adalah sebahagian daripada agenda !
Dalam konteks ini, Kerajaan telah mengumumkan perlantikan Sime Darby Berhad sebagai peneraju Pembangunan Koridor Utara yang meliputi kawasan majoriti Melayu - Daerah Balik Pulau, Seberang Perai, Perak Utara, Kedah dan Perlis. Dalam masa yang sama, pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan ini. Kerajaan juga telah diberi status eksklusif bebas cukai kepada Negeri Perlis. Adalah amat menarik, jika kita dapat menilai pelan tindakan yang disediakan Kerajaan Negeri mengenai perkara ini ?
Pelan pembangunan ini akan disokong oleh tiga (3) jentera strategik Kerajaan iaitu Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Urban Development Authourity (UDA) dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (KSAS). Maka tidak hairanlah, sebelum pelan rancangan ini dilancarkan; maka Kerajaan telah mengambil beberapa tindakan penyusunan semula.
Misalnya, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) telah dipindahkan dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) bagi membolehkan agensi pusat berkenaan mempunyai jentera pelaksanaan di Pulau Pinang.
Dalam masa yang sama, Urban Development Authourity (UDA) telah dimilik-negarakan dan dikembalikan ia kepada fungsi asal, iaitu meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam pasaran hartanah dan pembangunan tanah-tanah milik Melayu, khususnya di Pulau Pinang; dan
Sistem e-Tanah yang berharga RM55 juta telahpun diwujudkan oleh KSAS dan Pulau Pinang terpilih sebagai negeri pertama yang akan menggunapakai sistem tersebut. Oleh itu, dapatlah Kerajaan memantau secara langsung kedudukan tanah-tanah milik bumiputera dan bukan bumiputera di negeri tersebut.Kerajaan harus memastikan bahawa agensi-agensi tersebut bukan sahaja telah kembali kepada fungsi, matlamat dan fokus asal DEB; tetapi turut menekankan pelaksanaan secara hands-on, mempunyai sasaran yang objektif, pemantauan berkomputer yang sistematik, kaedah penilaian impak yang berkesan dan sebagainya. Dalam masa yang sama, Kerajaan telahpun mengenalpasti beberapa calon berwibawa untuk meneraju agensi-agensi tersebut.
Antaranya ialah YBhg. Tan Sri Khalid bin Ramli yang menyandang Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang telahpun dinaikkan pangkat kepada Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM). Dalam masa yang sama, YBhg. Datuk Ab. Ghani bin Ariffin, bekas Pegawai Daerah Seberang Perai Utara yang mencetuskan kontroversi jawatan YDP Majlis Perbandaran Seberang Perai wajar dilantik sebagai Pengurus PERDA.
YBhg. Datuk Mohd Izat bin Hasan, bekas Pengurus Besar PERDA yang kini memegang jawatan Ketua Pengarah RISDA wajar dilantik Ketua Setiausaha, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Manakala, SUK Pulau Pinang, YDP Majlis Perbandaran Seberang Perai dan YDP Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang baru perlu dilantik dan sebaik-baiknya dilantik sebaik sahaja Ketua Menteri berpindah ke Kabinet sebagai menteri penuh.
Dari segi politik pula, Kerajaan juga telah melantik Naib Ketua UMNO Nibong Tebal, seorang tokoh korporat yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pembangunan hartanah sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Insyallah, jika tiada aral melintang akan naik pangkat sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang baru dalam pilihanraya akan datang.
Cuma missing link dalam pelan tindakan ini ialah calon UMNO yang akan menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. Calonnya telahpun dikenalpasti, namun tuan punya badan sendiri tidak menyedarinya. Insyallah, teka teki ini akan terjawab selepas pilihanraya akan datang.
Maka tidak hairanlah, sejak akhir-akhir ini ada seorang Pemuda UMNO amat beriya-riya sekali memperkatakan isu ketuanan Melayu dan semangat DEB dalam setiap ucapan dan tindakan beliau. Dalam suasana yang tenang ini, hanya kedengaran satu suara berani yang berdegar-degar memperjuangkan isu tersebut. Siapa tahu dengan tindakan ini, karier beliau akan terang-benderang laksana bulan purnama…..
Apabila tiba masa yang sesuai, maka Pak Lah akan merungkai segala rahsia besar ini kepada orang Melayu dan rasa-rasanya Perhimpunan Agung UMNO akan menjadi medan pilihan beliau. Sebenarnya Pak Lah secara diam-diam adalah seorang strategis kerajaan yang nasionalis…..berbanding dengan Che Det, seorang strategis industri yang kapitalis !
NOTA : Jarum Halus, Kelindan Sutera - tipu muslihat yang sangat halus